MALAYSIA

Waqaf  Pendidikan  Anak Yatim  atau  Miskin

Click here to edit subtitle

UNIVERSITY COLLEGE BESTARI (1998-2013)


Kolej Universiti Bestari (UCBestari) merupakan salah sebuah Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS). UCBestari adalah kolej yang pertama berusaha memartabatkan anak-anak miskin berbagai kaum, golongan PPRT (Program Pembangunan Rakyat Termiskin) dan anak-anak yatim di seluruh Malaysia yang berkemampuan dalam bidang akademik untuk mendapatkan peluang melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi. Justeru itu penubuhan UCBestari tidaklah bermotifkan keuntungan semata-mata (non-profit making institution) tetapi lebih ke arah kebajikan. Kewujudan kolej ini juga cuba merealisasikan pembangunan keilmuan dalam arus perdana globalisasi negara supaya peluang pendidikan ini turut sama dikecapi oleh masyarakat luar bandar yang miskin dan anak-anak yatim di seluruh negara.


Sebagai sebuah institusi pendidikan, UCBestari ini diterajui oleh seorang Naib Canselor dan dibantu oleh Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni), Pendaftar dan Bendahari bagi menguruskan institusi ini secara efisien. Bagi menentukan dasar dan hala tuju institusi ini, Lembaga Pengarah UCBestari yang dipengerusikan oleh Y.M. Profesor Dato’ Dr. Hj. Tengku Mahmud bin Mansor telah ditubuhkan yang bertanggungjawab ke atas kewangan, pembangunan dan personalia kakitangan UCBestari. Diharap melalui sistem pengurusan dan pentadbiran ini, UCBestari akan menjadi sebuah Kolej Universiti yang berkembang maju dan terkenal di Malaysia.


Ditinjau dari aspek kronologi penubuhan UCBestari ini, ia bermula dari kegiatan dan gerakan kumpulan terlibat dengan aktiviti kebajikan anak-anak yatim di Malaysia. Pada tahap pertama perjuangan mereka itu ialah berkonsepkan memberi perlindungan dan penjagaan kepada anak-anak yatim. Setelah melangkau lebih dari 20 tahun bergiat dan berkecimpung dalam perjuangan tersebut mereka mendapati bahawa untuk mencapai matlamat akhir dalam membela nasib anak-anak yatim sukar dicapai kalau hanya tumpuan pembangunan anak-anak itu terhenti pada aspek penjagaan dan pemeliharaan semata-mata.


Oleh hal yang demikian, kumpulan ‘think tank’ PEYATIM yang diketuai oleh Y.M Profesor Dato’ Dr. Hj. Tengku Mahmud bin Mansor iaitu Presiden PEYATIM telah merancang untuk membangunkan sebuah UCBestari yang bermatlamat untuk menjadikannya sebagai satu saluran (outlet) kepada anak-anak yatim bagi mendapat peluang melanjutkan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi dengan sebaik mungkin. Ini kerana di kalangan anak-anak yatim itu mereka mempunyai kemampuan ke arah itu. Di samping itu, perubahan paradigma aktiviti di rumah anak-anak yatim itu sendiri mula berlaku dan menjurus kepada pembangunan pendidikan.


Sungguhpun pada peringkat perancangan penubuhan kolej ini adalah semata-mata untuk menampung keperluan aliran bagi anak-anak yatim, didapati aspek perluasan kepada pihak-pihak lain juga perlu diberi, seperti anak-anak daripada golongan PPRT dan luar bandar yang tidak dapat ditampung oleh Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA).


Daripada itu, penubuhan UCBestari ini terbukti memberi manfaat kepada semua pihak. Lantaran itu, usaha yang berani lagi bijaksana perlu disokong oleh semua pihak dan segenap lapisan masyarakat bagi menjayakan cita-cita pembangunan umat yang sebahagiannya tersisih dan tercicir. Semoga dengan usaha yang dilakukan ini dapat menyumbang ke arah pembentukan generasi baru yang berjiwa dinamik dan berdaya saing untuk menempuhi cabaran globalisasi serta kepesatan pembangunan teknologi maklumat demi mencapai wawasan dunia dan akhirat.


Pada 1 Ogos 2012, Kolej Teknologi Bestari telah dinaiktaraf menjadi sebuah Institusi Pengajian Tinggi yang dikenali sebagai Kolej Universiti Bestari (University College Bestari - UCBestari).